facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close

5 Minit Sebelum Pembatalan

loading...


Maafkan Saya Abang-Farah Fauzan

Tatkala Fara menghubungi saya beberapa minit sebelum beliau mengedarkan kenyataan media mengenai pembatalan hari bahagianya itu, saya bertanya padanya, apa sebab utama yang menyebabkan dia membulatkan tekad untuk berbuat demikian, jawapan yang diterima sama seperti rakan-rakan wartawan hiburan lain.
“Abang Dean (panggilan Fara buat saya), Fara nak beritahu yang Fara tak jadi kahwin. Sebagai sahabat wartawan saya nak abang tahu dari mulut saya sendiri sebelum saya edarkan kenyataan media sekejap lagi.
“Maaf Fara tidak dapat beritahu apa sebabnya kerana ia terlalu peribadi. Fara harap abang tak terkejut dan mohon abang doakan yang terbaik buat Fara,” kata Fara menjawab pertanyaan saya.
Cuba memujuknya agar berterus-terang, Fara tetap dengan jawapan yang sama. Perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi sekalipun dengan saya yang diundangnya menyertai pasukan perancang perkahwinannya.
“Biarlah ini menjadi rahsia saya,” tambah anak jati Shah Alam, Selangor ini lagi.
Tiada lagi daya saya untuk mendesak lantaran Fara yang saya kenali lebih sedekad lalu sangat tegas dan berprinsip.
Namun, soalan lain saya lontarkan padanya iaitu apakah tiada kebimbangan seandainya media dan masyarakat membuat pelbagai spekulasi lantaran alasan isu peribadi boleh mengundang persoalan-persoalan lain yang lebih nakal.
Dalam nada tenang, Fara berkata: “Apa daya saya nak mengawal mulut orang. Biarlah mereka berkata apa sahaja dan saya juga tidak mampu untuk menghalang mereka berfikir yang bukan-bukan. Yang penting ia bukan daripada mulut saya.
“Saya percaya saya bukanlah satu-satunya wanita yang terpaksa berhadapan dengan ketentuan seperti ini (terpaksa membatalkan majlis perkahwinan di saat akhir). Pasti ada lagi wanita yang diuji dan diduga seperti saya, cuma bezanya saya adalah Fara Fauzana.”
Saya sekadar dimaklumkan oleh Fara, keputusan berat itu bukannya dibuat bertitik tolak daripada rasa marah atau kebencian, sebaliknya, sebelum tindakan diambil, dia terlebih dahulu memohon petunjuk daripada Allah selain merujuk kepada ibu, ayah dan keluarga terdekat.
Seperkara lagi, Fara sentiasa mengingatkan dirinya berkali-kali agar jangan sesekali menggunakan istilah ‘enggan membuka aib’ dalam menjelaskan berita pembatalan pernikahan itu kerana konotasi sedemikian hanya akan membuatkan masyarakat merumuskan ada kesilapan yang berlaku pada salah seorang daripada mereka.
“Itu (enggan membuka aib) merupakan perkara terakhir yang saya mahu orang fikir mengenai pembatalan perkahwinan. Saya sangat-sangat percaya ini semua ketentuan Allah SWT,” Fara menyambung bicara.
Kepahitan
Mengimbas kembali permulaan Fara berkongsi berita gembira yang hatinya sudah dimiliki, terpancar kegembiraan pada wajahnya.
Seperti wanita lain, Fara pada ketika itu tidak sabar menghitung hari menanti saat bergelar isteri kepada lelaki yang dicintai.
“Alhamdulillah jodoh saya dah sampai. Saya sangat bersyukur kerana Allah mendengar doa saya. Seperti wanita lain, saya juga mahu memiliki keluarga sendiri,” katanya setiap kali kami berjumpa.
Bahkan, semasa mengumumkan berita pernikahannya pada 1 Ogos lalu dalam sidang akhbar, senyuman tidak pernah lekang daripada bibirnya. Dia menjawab satu persatu soalan wartawan sekalipun ada beberapa hal yang ‘dirahsiakan’ termasuk wajah lelaki bernama Mohamed Hafiz.
Lantaran terlalu gembira, Fara memberikan sepenuh perhatian pada persiapan perkahwinannya yang sudah 90 peratus siap.
Namun, semua itu kini hanya tinggal kenangan. Kad-kad pernikahan yang masih lagi berbaki dan belum sempat diedarkan tidak lagi memberi sebarang makna.
Pada ketika ini juga, saya percaya ramai lagi yang masih ingin mengetahui apakah faktor utama dan siapa yang wajar memikul tanggungjawab sepenuhnya dalam pembatalan pernikahan antara Fara – Hafiz ini? Saya mengenali Fara atas dasar kawan seperjuangan dalam industri media. Seingat saya, belum pernah selama mengenalinya saya cuba mengorek kisah peribadinya melainkan kalau dia sendiri yang mahu bercerita.
Berkenaan lelaki bernama Hafiz pula, saya hanya berpeluang bertemu dengannya sekali sahaja. Itupun dalam masa yang sangat singkat. Justeru, adalah tidak adil untuk saya membuat penghakiman hanya berdasarkan sekali pertemuan.
Walaupun sebagai seorang wartawan, naluri saya memberontak untuk mengetahui sebab utama pembatalan pernikahannya, namun sebagai seorang sahabat dan juga seorang manusia yang waras, saya fikir adalah wajar untuk saya memberikan Fara ruang untuk menelan segala kepahitan itu.
Saya percaya, akan tiba masanya kelak dia akan bercerita juga tanpa perlu saya mendesaknya.
FARA FAUZANA, 36, yang menjadi tumpuan wartawan hiburan sepanjang minggu ini sele­pas membuat keputusan mem­batalkan pernikahan kurang dua minggu dari tarikh yang dirancang sangat tenang menghadapi kemelut peribadinya itu.
Tidak melatah, jauh sekali melenting memberikan kenyataan berbaur emosi atau amarah kepada wartawan, sebaliknya, kemelut berkenaan ditanganinya penuh berhemah.
Sejak dari hari pertama dia mengumumkan berita pembatalan pernikahan itu, tidak ada sekali pun kisah buruk calon bakal suaminya yang hanya dikenali sebagai Mohamed Hafiz, 30, terpacul dari mulut personaliti radio dan televisyen popular itu.
Lalu apa sebenar yang berlaku sehingga menyebabkan Fara berubah fikiran? Soalan tidak berjawab dan Fara membiarkan semua orang berteka-teki.

loading...

0 Response to "5 Minit Sebelum Pembatalan"

Post a Comment