facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close

Saya Kini Tak Perlu Menjerit - Jerit Lagi. Saya Selesa Kini....- Siti Nordiana

loading...





Atas nasihat guru vokalnya Cikgu Syafi, Siti Nordiana kini menggunakan mikrofon sendiri demi keselesaannya ketika membuat persembahan.

Menangkis dakwaan dia sengaja menunjuk-nunjuk, penyanyi yang mesra disapa Nana ini berkata, dia memiliki nada suara rendah dan apabila memiliki mikrofon sendiri serta dengan bantuan jurutera bunyi peribadi, alat itu boleh disesuaikan mengikut nada suaranya sendiri.

“Perkara itu sukar dilakukan jika saya berkongsi mikrofon disediakan penganjur dengan artis lain. Ini kerana kita tiada masa untuk menyesuaikan nada mikrofon dengan setiap artis yang membuat persembahan pada masa sama.

“Saya beli mikrofon itu pun selepas Cikgu Shafi mencadangkannya kerana nada suara saya rendah. Apabila ada mikrofon sendiri nada bunyi alat itu boleh ditinggikan jadi tidak perlu saya menjerit-jerit untuk mengeluarkan suara. Tiada alasan lain melainkan memudahkan saya ketika membuat persembahan. Bukan saya seorang yang menggunakan mikrofon sendiri, ramai artis berbuat begitu seperti Misha Omar, Ifa Raziah dan Akim,” katanya.

Berkenaan dakwaan kononnya Nana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias, mula ‘demand’, dengan pantas ibu tunggal itu menafikannya.

“Tidaklah setinggi mana, bayaran yang saya letak berdasarkan beberapa faktor seperti bentuk penganjuran acara, sama ada besar atau kecil, jenis program di Kuala Lumpur atau di luar ibu kota. Kalau saya minta lebih pun masih pada kadar harga berpatutan, lagipun bayaran itu bukan untuk saya seorang, tetapi perlu bayar jurusolek dan jurutera bunyi.

“Saya sentiasa berusaha memenuhi permintaan peminat. Ada juga peminat beria-ia mahu saya menyanyi pada majlis perkahwinan mereka. Dalam hal begini terpulang berapa mereka mampu bayar. Saya tidak kisah pergi ke majlis perkahwinan mereka jika kebetulan saya tidak terikat dengan mana-mana persembahan dan aktiviti lain pada hari itu,” katanya.

Ujar Nana lagi, dia tidak pernah lupa asal usul dan zaman susahnya dulu.

“Apa yang saya peroleh hari ini bukan datang dalam sekelip mata, lantaran itu saya amat menghargai peminat yang menyokong saya sehingga muncul juara GV2 (Gegar Vaganza musim dua) dan sangat mensyukuri rezeki yang Allah beri.

“Justeru tiada sebab untuk saya ‘lupa diri’ kerana bertahun-tahun lamanya saya berjuang seorang diri. Rezeki yang saya dapat ini juga adalah rezeki anak tunggal saya, Rayyan. Dia adalah segalanya untuk saya dan sejak dulu saya bekerja keras membesarkannya,” katanya.

Sebaik saja berakhir GV2, rutin hariannya sangat sibuk, hanya kebelakangan ini dia kembali ada sedikit masa terluang untuk dirinya sendiri, anak dan keluarga.

Sebagai juara Nana menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan pakej percutian ke Madrid, Sepanyol tajaan MyCentrio Holidays Sdn Bhd dan akan ke sana pada 12 Mac depan.

Pakej percutian yang dinamakan Hola Espana Featuring Siti Nordiana itu turut dibuka kepada peminat yang mahu bercuti bersamanya.

Selain Madrid, bandar lain turut dilawati, Cordoba, Sevilla, Granada dan Toledo.

Menurut Nana, sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk ke negara itu.

“Negara paling jauh pernah saya lawati ialah Mesir, itu pun mengikuti rombongan Usrah Fitrah bagi melihat umat Islam yang menjadi mangsa peperangan di negara itu. Sebelum berangkat ke Sepanyol, saya akan mencari maklumat negara itu di Internet agar saya dapat menghayati sejarah, keindahan dan keunikannya.

“Apa yang saya tahu negara itu yang juga pernah dikenali dengan nama Andalusia menjadi pusat kerajaan Islam Bani Umaiyyah pada abad ke-8 sehingga negara itu dikuasai kerajaan Kristian selepas abad ke-15,” katanya.

Pada percutian itu Nana juga akan membawa anak–nya, Rayyan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:01 AM
loading...

0 Response to "Saya Kini Tak Perlu Menjerit - Jerit Lagi. Saya Selesa Kini....- Siti Nordiana"

Post a Comment