loading...
KOTA SARANG SEMUT – Tanah perkuburan Islam Masjid Permatang Buluh, di sini, diibaratkan rumah kedua bagi pasangan Khairul Nizam Lebai Jusoh, 42, dan Nur Shazira Mohd Salleh,24.
Difahamkan, Nizam dan Nur Shazira tidak jemu-jemu menziarahi kubur anak sulung mereka, Muhammad Nasrullah sejak pemergiannya pada 17 Mac tahun lalu.
Arwah Nasrullah meninggal dunia selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat ‘Sepsis Secondary To Infected Severe Atopic Eczema’ (jangkitan kuman dalam darah).
Kisah arwah Nasrullah mendapat perhatian rakyat Malaysia memandangkan kes bayi melecur seakan-akan terbakar didakwa akibat alahan ubat jarang-jarang berlaku.
Ziarah kubur anak setiap hari
Nizam berkata, menziarahi kubur arwah Nasrullah yang terletak tidak berjauhan dari kediaman mertuanya di Kampung Kuala Bangka, dekat sini seolah-olah aktiviti harian mereka.
“Walaupun, kini isteri saya, Shazira sedang hamil anak kedua kami, yang mana dia dijangka selamat melahirkan cahaya mata itu, pada November nanti.
“Namun, dia tidak lupa menziarahi kubur arwah anak kami, meskipun keadaan semakin sarat,” katanya.
Nizam berkata, kegembiraan mereka menerima cahaya mata pertama sebaik mendirikan rumah tangga masih segar dalam ingatan, biarpun Nasrullah sudah tiada.
Jelasnya, sehingga kini, mereka berdua masih teringat dan merindui akan keletah arwah Nasrullah, yang mesra dipanggil sebagai adik.
Untuk itu, jelasnya, album gambar dan baju lama milik Nasrullah sentiasa dalam simpanan mereka dan dijadikan tempat melepaskan kerinduan.
Raya dalam kesedihan
Manakala, Shazira berkata, mereka pastinya menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kemeriahan, sekiranya arwah Nasrullah masih ada kerana pada tahun ini dia berusia dua tahun.
Bagaimanapun, menurutnya, mereka meraikan Syawal kali ini dalam kesedihan seperti tahun lalu, mengenangkan pemergian anak mereka buat selama-lamanya.
Mengimbas kembali, Shazira berkata, mereka berdua hanya berpeluang meraikan Aidilfitri bersama Nasrullah pada tahun pertama sahaja.
“Ketika itu, saya masih dalam pantang selepas melahirkan Nasrullah, malah usianya baru sebulan,” katanya.
Demi kasih buat arwah Nasrullah, katanya, suami ataupun ayah akan membantu membawanya menziarahi kubur arwah dua kali sehari.
Kini, pasangan suami isteri itu sudah memfailkan kes kecuaian dipercayai membabitkan sebuah klinik swasta dan menyerahkan kepada peguam.
Tindakan itu diambil demi menegakkan kebenaran untuk anak mereka, sekaligus mengharapkan tiada ibu bapa lain mengalami nasib sama.
loading...
0 Response to "Kubur Anak Jadi Rumah Kedua Sepasang Suami Isteri"
Post a Comment